12 FAEDAH BERLARI

12 Faedah Berlari

Jom sihat dan cergaskan diri  demi agama, diri dan keluarga. Semoga amal dan kerja-kerja fisabilillah diterima serta mendapat keredhaanNya.
Dari Abu Hurairah, dia berkata: Rasulullah Saw bersabda: Allah berfirman:
“… Jika dia datang kepada-Ku dengan berjalan, maka Aku datang kepadanya dengan berlari”.
(Sahih al-Bukhari, Kitab: at-Tauhid, Bab: Qaul Allah Ta’ala wa Yuhadzdzirukumullah Nafsah. Juz: 6, halaman: 2694, no: 6970. Penerbit: Dar Ibni Katsir. Al-Yamamah, Beirut, Lubnan. Cetakan ke-3, tahun: 1407H/1987M).
Hadis ini mengajarkan kepada orang-orang yang beriman bahawa Allah swt selalu membalas lebih dari apa yang dilakukan manusia yang selalu ingin dekat kepada-Nya dan yang merindukan keagungan-Nya. Semoga kita termasuk hamba-hamba-Nya yang sentiasa mengingati-Nya, aamiin.

 Senaman tunggal berlari boleh dilakukan menerusi pelbagai cara seperti naik turun tangga, berlari setempat, berjalan pada jarak jauh, seperti mendaki gunung dan sebagainya. Selain menjimatkan kos, berlari memang banyak faedahnya. Daripada hasil kajian khusus, beberapa penyelidik mendapati berlari merupakan salah satu kaedah ringkas untuk awet muda. “Daripada pelbagai jenis senaman kardio, berlari berupaya menguatkan badan serta kekal awet muda,” JoAnn Manson(2001), seorang Profesor di Universiti Harvad, Boston. Untuk kupasan lebih lanjut, dapatkan buku beliau yang bertajuk “The 30-Minutes Fitness Solution” terbitan Harvard University Press.

Berikut 12 hasil kajian literatur yang memaparkan manfaat berlari:

1. Menurunkan berat badan

Berlari merupakan cara yang sangat efisyen untuk membakar kalori dan menurunkan berat badan. Menurut seorang doktor sukan tempatan dan juga pelari maraton, Dr. William Chan, berlari merupakan salah satu aktiviti yang amat berkesan untuk menurunkan berat badan. “Pelari akan mendapat senaman kardiovaskular menakjubkan yang amat baik untuk jantung dan paru-paru, selain membolehkan pembakaran kalori secara purata antara 70 hingga 80 kalori setiap kilometer. “Jika dibandingkan dengan aktiviti-aktiviti popular yang lain seperti berbasikal, berenang dan angkat berat, berlari membakar lebih kalori,” katanya.

2. Mengawal Tekanan Jantung dan Kolesterol

Berlari adalah cara terbaik untuk menguatkan jantung dan memastikan kelancaran arus darah dan oksigen ke seluruh tubuh yang dapat membantu untuk mengurangkan risiko serangan jantung. Ianya juga dapat membantu untuk mengurangkan tekanan darah ke paras normal dan meningkatkan sistem pertahanan tubuh agar lebih efisyen dan efektif untuk melawan kuman.
Pelari yang mengekalkan larian sejauh 16km seminggu berupaya bebas daripada mengalami gangguan tekanan darah sehingga 39%.  Sistem peredaran darah seseorang pelari juga berjalan lebih lancar disebabkan kolesterol tidak terperangkap di dalam pembuluh darah sehingga mencapai 34% berbanding dengan mereka yang tidak berlari. “Berlari membantu mengurangkan tekanan darah dengan memelihara keanjalan arteri. Ketika berlari, arteri akan mengembang dan mengecut lebih daripada kebiasaan, di sini arteri memelihara keanjalannya dan memastikan tekanan darah berada pada tahap rendah,” jelas Dr. Chan.

3. Meningkatkan tenaga dan mengelakkan mati pucuk

Seseorang pelari lelaki yang membakar sejumlah 3,000 kalori seminggu menerusi aktiviti berlari sehingga 5 jam seminggu akan menjauhkan dirinya daripada risiko mati pucuk hingga 83%. Hmm, sangat mengejutkan. Dalam melakukan aktiviti seharian, pasti banyak tenaga yang perlu digunakan. Dengan berlari dapat membantu untuk memberikan anda lebih tenaga untuk melakukan sesuatu tugasan itu dengan lebih efektif.

4. Menguatkan tulang

Selain daripada itu, ia juga dapat meningkatkan kepadatan tulang, yang boleh menangkis osteoporosis. Jisim tulang para pelari ternyata lebih baik berbanding atlet aerobik lain, demikian menurut para pengkaji daripada University of Missouri. Para pengkaji membandingkan kepadatan tulang para pelari dengan penunggang basikal. Sejumlah 63% penunggang basikal mempunyai jisim tulang yang kurang baik, sedangkan pelari hanya pada sekitar 19% sahaja.

5. Tindakbalas berfikir lebih pantas dan meyakinkan

Dalam satu penyelidikan yang dijalankan kepada para pekerja di England mendapati bahawa seseorang yang mengamalkan rutin berlari amat jarang melakukan kesalahan dalam kerja-kerjanya, mempunyai konsentrasi kerja yang lebih baik, dan lebih produkif berbanding dengan mereka yang jarang berlari. Berlari bukan sahaja berfaedah untuk tubuh badan sahaja, tetapi ia juga merupakan sebagai latihan minda. Hasil kajian menunjukkan bahawa seorang yang berlari akan lebih fokus dan berdisiplin terhadap tugasan yang mereka lakukan. Selain daripada itu, ianya juga dapat membantu untuk meningkatkan keyakinan seseorang.

6. Berfikir lebih panjang

Orang yang berlari 56km seminggu mampu berfikir lebih panjang dan bervisi, berbanding mereka yang berlari hanya 16km seminggu. Journal of American Geriatrics Society melaporkan, seseorang yang rajin berlari seawal usia remaja akan mengurangkan risiko mengidap nyanyuk semasa usia emas.

7. Tidur lebih nyenyak

Dengan meluangkan masa untuk berlari, para pengidap insomnia berupaya mempercepatkan waktu tidur mereka sehingga 17 minit berbanding sampel responden pengidap insomnia yang tidak berlari. Tidur mereka juga lebih nyenyak semalaman sehingga pada keesokan paginya.

8. Mengurangkan selsema dan bersin

Suatu kajian di Sweden mendapati pelari yang berlari sejam setiap hari akan dapat mengurangkan risiko diri daripada serangan virus selsema sehingga 18% berbanding dengan mereka yang tidak berlari. Ini terbukti mengurangkan risiko infeksi saluran pernafasan selain dapat meningkatkan imuniti tubuh manusia.

9. Melancarkan Pernafasan

Di dalam satu penyelidikan, pengkaji telah menyarankan sejumlah pengidap asma untuk berlari secara rutin. Selepas tiga bulan, didapati pernafasan mereka lebih lancar, bersih dan tidak mengeluarkan bunyi. Para pengidap asma dapat bernafas panjang, tidak semput seperti pengidap asma yang tidak berlari. Para responden bersetuju dapat bernafas lebih lancar dan sistem imuniti tubuh juga lebih kuat.

10. Panjang umur

Hasil penelitian ke atas 22 penyelidikan memberi rumusan bahawa seorang yang berlari sejauh 2 jam 30 minit dalam seminggu akan mengurangkan risiko kematian lebih awal sehingga 19%. Berdasarkan kajian yang lain pula mendapati seseorang yang aktif berlari akan mengurangkan risiko meninggal dunia pada usia lebih awal hingga 50% berbanding dengan mereka yang tidak berlari.

11. Mengawal Stres

Berlari merupakan satu bentuk latihan untuk anda mengawal tekanan yang sedang dihadapi. Kajian telah menunjukkan bahawa orang dewasa sihat yang bersenam secara teratur umumnya lebih gembira daripada mereka yang tidak melakukan senaman. Menurut Avanti Kumar(2009), menerbitkan buku berjudul “The Science Of Happiness”, berlari boleh membuat kita gembira!”Apabila anda selesai berlari secara luaran, anda akan sedar bahawa anda baru sahaja telah memulakan pecutan bagi kebahagian anda!”

12. Menajamkan Penglihatan

Seseorang yang berlari sejauh 56km seminggu, akan mencegah risiko gangguan penglihatan mata disebabkan faktor usia sehingga 54% berbanding dengan mereka yang hanya berlari sejauh 16km seminggu.
Keburukan berlari juga wujud kerana orang yang melakukan kegiatan ini tidak menggunakan teknik yang betul selain kasut atau pemakaian alatan yang tidak sesuai. Sekiranya keadaan ini berlaku, seseorang itu mungkin akan mengalami kecederaan pada kakinya seperti terseliuh atau luka. Selain itu seorang ahli fisioterapi, Bhalwant Singhs Bains ketika membentangkan kajiannya pada Persidangan Kebangsaan Persatuan Fisioterapi Malaysia 2007 berkata, tidak semua orang memiliki bentuk dan keseimbangan tubuh yang betul untuk berlari.

 Jadi anda boleh mula berlari sebagai salah satu pilihan senaman kardio. Berlari sememangnya mampu menjimatkan kos dan akan lebih seronok jika kita lakukannya sambil mendengar lagu-lagu rentak terkini yang segar dan popular. Sebagai bonus tambahannya, hasil penyelidikan telah membuktikan membuktikan bahawa bersenam sambil mendengar muzik mampu merangsang otak berfikir dengan lebih pantas. Oleh itu, rakan-rakan di luar sana, luangkanlah masa sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari untuk berlari atau berjogging. Kalau tak boleh sangat hujung minggu pun boleh. Selamat berlari semua!

Rujukan:

Avanti Kumar.(2009). The Science of Happiness. Marshall Cavendish Editions.
JoAnn Manson, M.D.,(2001). The 30-Minutes Fitness Solution. Boston: Harvard University Press.
JoAnn Manson, M.D., is Professor of Medicine at Harvard Medical School and Chief of Preventive Medicine at Harvard’s Brigham and Women’s Hospital, Boston. She has done extensive research on the health benefits of exercise.

Dipetik Daripada kevinzahri official website

PECUTAN TERAKHIR UPSR 2016

Aktiviti : Pecutan Terakhir UPSR 2016
Tarikh   : 29/08/2016 - 02/09/2016
Tempat : Sk Nyaris-Nyaris, Bongawan 
Tahniah kepada guru-guru tahun 6....

MAJLIS KHATAM AL-QURAN & SOLAT HAJAT UPSR 2016

Aktiviti : Khatam Al-Quran & Solat Hajat
Tarikh   : 29/08/2016 ( Isnin )
Tempat  : Dewan Terbuka Sk. Nyaris-Nyaris, Bongawan